ANAK syarikat Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB), SCIB Industrialised Building System Sdn. Bhd. (SIBS) dan rakan usaha sama mereka dalam konsesi penyelenggaraan jalan raya Terengganu, Sasoakai Resources Sdn. Bhd. (SRSB), hari ini mengadakan acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka yang pertama bagi menyantuni masyarakat di Pulau Redang, Terengganu yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Syarikat itu menerusi kenyataannya hari ini memberitahu, SIBS dan SRSB, secara kolektif dirujuk sebagai SSJV (SIBS, SRSB Joint Venture) telah menubuhkan satu pasukan CSR untuk melaksanakan acara itu yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam and Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Acara itu dihadiri oleh 100 keluarga asnaf yang menerima sumbangan barang keperluan asas berjumlah RM10,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif SRSB, Syed Ahmad Anas.
Pasukan CSR SSJV juga mengunjungi rumah keluarga asnaf yang tidak dapat hadir ke acara itu dan menyerahkan sumbangan dan mengambil maklum akan keperluan lain mereka seperti barangan persekolahan, bekalan makanan dan ubat-ubatan.
“Kami juga melihat kepada lebih banyak peluang untuk meluaskan jangkauan kami di pulau itu bagi memberikan bantuan kepada lebih ramai keluarga yang kurang berkemampuan.
Kami yakin bahawa acara CSR pertama ini akan menjadi batu loncatan untuk inisiatif pasukan CSR SSJV pada masa hadapan dalam menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan aktiviti kebajikan,” kata Rosland dalam kenyataan itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.