RM2.5 juta disalur ganti, baik pulih paip pecah

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KERAJAAN memperuntukan sebanyak RM2.5 juta bagi menggantikan dan membaik pulih paip di dasar Sungai Tangki Berangan yang pecah dalam dua kejadian bulan lalu.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika ini kerja-kerja berkaitan sedang giat dijalankan dan proses pemasangan akan dilakukan sebaik sahaja paip berkenaan yang ditempah dari luar negara itu sampai.

Malah katanya, kerajaan negeri Terengganu menjangkakan penggantian paip dari Australia dan Itali itu dapat dilaksanakan mengikut jadual asal.

“Jika tiada aral, Insya Allah, krisis bekalan air membabitkan dua daerah di negeri ini
dijangka selesai pada 12 September,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berhampiran Pulau Sekati, Kuala Terengganu, petang ini.

Menurut Tuan Ibrahim, paip baharu tersebut memiliki daya ketahanan tinggi dan lebih fleksibel.

Krisis bekalan air 2.0 melibatkan 29,151 pengguna di sebahagian daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sejak 23 Ogos lalu dijadualkan pulih pada 12 September ini.

Berdasarkan siasatan awal mendapati punca kerosakan tersebut adalah disebabkan kejadian luar jangka sewaktu kerja-kerja pasca pembaikan paip bersaiz 1,200 milimeter itu dijalankan.