PM ambil jalan selamat kosongkan kerusi TPM: Penganalisis

KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghidupkan semula langkah Muhyiddin Yassin yang tidak melantik timbalan perdana menteri dilihat sebagai langkah baik jangka panjang untuk kerajaan.

Menjelaskan langkah Ismail Sabri itu, beberapa penganalisis politik berpendapat ia adalah tindakan tepat dan sesuai dengan keadaan semasa politik yang masih tidak menentu.

Prof Dr. Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, adalah lebih baik untuk ahli parlimen Bera itu menangguhkan lantikan timbalan perdana menteri sehingga kehangatan politik reda.

“Ismail Sabri mungkin belajar daripada sejarah lampau. Semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, jawatan timbalan menimbulkan banyak masalah.

“Lebih-lebih lagi apabila jawatan timbalan perdana menteri tidak memberi tambah nilai kepada kerajaan baru. Ada tak apa, tak ada pun tak apa,” katanya kepada Malaysiakini.

Semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, Muhyiddin tidak melantik sesiapa menjadi timbalan perdana menteri sebaliknya memberikan jawatan menteri kanan kepada empat ahli parlimen termasuk Ismail Sabri.

Naib Presiden UMNO itu kemudian diangkat sebagai sebagai timbalan Muhyiddin hanya pada 7 Julai ketika PN berdepan dengan tekanan daripada UMNO.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, berpandangan kemungkinan besar Ismail Sabri memang tidak akan melantik timbalan perdana menteri kerana ia lebih baik untuknya.

“Adalah lebih baik tidak ada lantikan. Kekalkan menteri kanan dan kekal seperti sebelum ini kerana saya percaya akan ada polemik dalaman sekiranya ada lantikan timbalan perdana menteri.

“Sebelum ini UMNO diberi jawatan timbalan perdana menteri tapi dah terlambat.

“Maka tiada timbalan perdana menteri tidak akan menjadi isu,” katanya.

Mohd Azizuddin turut meramalkan Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertembung untuk jawatan timbalan perdana menteri sekiranya Ismail Sabri berhasrat mengisi jawatan berkenaan.

“Memang Bersatu ada buat tuntutan, GPS pun nak juga. Jadi ia tidak baik untuk polemik dalaman kerajaan,” ujarnya. – SB