MODERNA Inc. dan Takeda Pharmaceutical Co. Ltd. dengan kerjasama kerajaan Jepun menarik balik tiga kumpulan vaksin COVID-19 ekoran pencemaran keluli tahan karat dalam beberapa bebulinya, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan pada Khamis.
Hasil siasatan mendapati beberapa bebuli vaksin Moderna Inc untuk kegunaan di Jepun disahkan mengandungi sisa keluli tahan karat, menurut Kementerian Kesihatan Jepun..
Moderna berkata, pencemaran mungkin berlaku ketika proses pengeluaran.
Kemungkinan pencemaran berlaku akibat geseran dua kepingan logam di mesin pembuatan, menurut Moderna dan Takeda dalam satu kenyataan bersama.
Siasatan dilakukan Moderna dengan kerjasama Takeda dan sebuah syarikat Sepanyol, Rovi, yang mengendalikan pengeluaran vaksin di mana pencemaran berlaku.
Berdasarkan hasil siasatan berkenaan, Kementerian Kesihatan Jepun percaya bahawa partikel keluli tahan karat tidak menimbulkan sebarang risiko kesihatan.
“Keluli tahan karat lazimnya digunakan dalam rawatan injap jantung, penggantian sendi dan untuk jahitan serta cantuman menggunakan logam.
“Oleh itu, suntikan mengandungi partikel berkenaan sehingga boleh menyebabkan peningkatan risiko perubatan adalah di luar jangkaan,” menurut kenyataan itu.
Sejumlah 1.63 juta dos Moderna dihentikan penggunaannya minggu lepas setelah 39 bebulinya dikesan mengandungi bahan asing.
Dalam beberapa kes, bahan asing turut ditemui di dalam bebuli yang masih belum digunakan, juga turut dijumpai ketika penyumbat getah bebuli pecah apabila jarum tidak dimasukkan dengan betul.
Isu itu menarik perhatian pelbagai pihak setelah Kementerian Kesihatan pada Sabtu melaporkan dua kes kematian melibatkan lelaki berusia 38 dan 30 tahun, maut setelah mendapat suntikan dos kedua Moderna pada Ogos.
Punca kematian masih dalam siasatan, Takeda berkata, tiada bukti kukuh mengaitkan kematian mereka dengan penggunaan vaksin. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.