Bekalan air di Selangor, Putrajaya pulih sepenuhnya

SEMUA 463 kawasan terjejas bekalan air di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat sebelum ini pulih sepenuhnya dan menerima bekalan air bersih pagi tadi, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri berkata, semua kawasan terjejas ekoran henti tugas loji rawatan air Sungai Semenyih itu telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Loji rawatan Sungai Semenyih ditutup pada 11.10 pagi kelmarin selepas pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Antara kawasan yang terjejas bekalan air akibat kejadian ini termasuk Hospital Serdang dan Hospital Universiti Putra Malaysia, serta pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Terdahulu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling sebanyak 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Sepanjang tempoh itu, Air Selangor berusaha memaklumkan perkembangan terkini kepada pengguna terjejas menerusi platform digital rasmi dan laman web rasmi. – SB