Tangguh lagi. Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menangguhkan perbicaraan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) kerana masih bercuti sakit.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberi peringatan supaya selepas ini semua pihak perlu mendapatkan sijil cuti sakit (MC) daripada hospital kerajaan, bukannya hospital swasta.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa yang membenarkan penangguhan kes itu berpuas hati kerana doktor yang merawat Zahid hadir ke mahkamah Kuala Lumpur sebelum ini untuk memberi penjelasan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 28 Sept, 22 Okt, 18 hingga 19 Nov dan 20 hingga 24 Disember ini bagi menyambung perbicaraan ke atas Zahid yang berdepan 40 pertuduhan rasuah.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.