Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Penganggur didakwa cuba menikam leher bapa kandung -

Penganggur didakwa cuba menikam leher bapa kandung

SEORANG lelaki yang dikatakan mengalami masalah mental dihadap ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh bapa kandungnya minggu lalu.

Namun, Muhamad Nur Amin Azmail, 28, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan kes, perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di hadapan Pasar Bachok, pada pukul 10.40 pagi, 24 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa dengan pengetahuannya telah cuba membunuh bapa kandungnya, Azmail Mohd Salmon, 66, iaitu dengan bertindak menikam pada bahagian leher mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Nurul Hanini dalam pendakwaan memaklumkan, tertuduh mendapat rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan manakala temu janji akan datang ialah pada 6 Oktober depan.

Selain itu, Wan Nurul Hanini juga memohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan psikiatri serta tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius.

Mahkamah kemudian memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan dan 30 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -SB