Mesyuarat Kabinet pertama hari ini

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama kerajaan hari ini selepas semua urusan perlantikan serta majlis angkat sumpah selesai 30 Ogos lalu.

Mesyuarat pertama kerajaan baharu itu akan dijalankan secara dalam talian kerana Ismail Sabri kini sedang menjalani kuarantin di rumah selepas didapati ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Pada masa sama, beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah berkaitan peralihan kawasan Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kini telah mencapai kadar vaksinasi melebihi 80 peratus.

Ketika ini, semua mata terarah kepada perancangan kerajaan baharu terutamanya sasaran mencapai imuniti kelompok melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Sehingga semalam, jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi PICK yang dilancarkan pada 24 Februari lalu ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mencapai angka sebanyak 34,752,340 dos.

Segala inti pati atau sebarang keputusan dalam mesyuarat kabinet pertama itu tentunya menjadi fokus rakyat yang mengharapkan akan ada perubahan baik melalui perbincangan tersebut terutamanya berkaitan usaha mengatasi penularan Covid-19.

Semalam, Ismail Sabri juga menyertai sambutan Hari Kebangsaan ke-64 secara dalam talian. Sambutan kali tetapi diadakan tetapi pada skali kecil dan sederhana kerana kekangan akibat pandemik Covid-19.

Ketika mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan pada 20 Ogos lalu, Ismail Sabri melaungkan slogan Keluarga Malaysia dan berjanji akan memberi fokus penuh kepada usaha pemulihan ekonomi serta isu Covid-19.

Semua menteri dan timbalan menteri diberi tempoh masa 100 hari untuk menunjukkan prestasi mereka untuk dinilai. – SB