Kementerian Pertahanan tubuh jawatankuasa bertindak perangi Covid-19

0
374

KEMENTERIAN Pertahanan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi menyelaraskan usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kementerian itu dalam mengurus agenda nasional memerangi Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jawatankuasa itu akan diketuai timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Menurut beliau, langkah itu merupakan antara inisiatif dalam merealisasikan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kementerian Pertahanan dan ketiga-tiga cabang ATM perlu melaporkan tindakan yang sudah dilaksanakan selama lebih setahun ini serta mencadangkan kepada saya apa lagi tindakan susulan yang boleh ditambah baik.

“Ini mengambil kira Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF), selain membantu usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media hari ini.

Yang turut hadir, Ikmal Hisham; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Hishammuddin menambah, usaha berkenaan penting demi melindungi rakyat serta merancang bagaimana Kementerian Pertahanan dan ATM boleh membantu negara secara lebih menyeluruh dalam memerangi pandemik Covid-19.

Beliau memberitahu, kelebihan sedia ada Kementerian Pertahanan dan ATM, termasuk infrastruktur di seluruh negara seperti hospital angkatan tentera, hospital medan serta sekolah dalam kem boleh dimanfaatkan untuk penambahbaikan bagi memenuhi keperluan agenda nasional.

“Saya, Timbalan Menteri, kepemimpinan Kementerian Pertahanan dan ATM akan segera turun ke lapangan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada kakitangan serta anggota terbabit keadaan operasi semasa.

“Ini kerana saya mahukan usaha yang kita lakukan ini adalah berdasarkan suara kolektif dan konsensus bersama,” jelasnya.

Hishammuddin berkata, aspek pemantauan dan penguatkuasaan adalah amat penting mengambil kira kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang digubal dan diumumkan sebelum ini terutama kepada individu yang menerima vaksinasi lengkap.

“Dalam konteks ini, saya akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan dan Penguatkuasaan, khususnya dalam mengatur gerak semua agensi penguatkuasaan dan pemantauan secara lebih menyeluruh supaya usaha memperkemas dan memperkasa aspek ini dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Selain itu, Kemenyerian Pertahanan dan ATM akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan rakan negara sekutu sedia ada serta meneruskan hubungan baik bersama negara lain yang saya usahakan sewaktu di Wisma Putra,” katanya.

Menurut beliau, pengkhususan yang akan diberikan bertumpu kepada aspek diplomasi ketenteraan, aspek keselamatan antarabangsa khususnya dalam memerangi pengganas, pengurusan pandemik Covid-19, sistem kesihatan serta ekonomi dan kesejahteraan.

“Sebagai contoh, semalam saya mengadakan perbualan telefon bersama Menteri Kanan Koordinasi Untuk Keselamatan Singapura, Teo Chee Hean bagi membincangkan perkara-perkara yang saya nyatakan tadi,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here