Covid-19 akan dianggap endemik, SOP dipermudah

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini mengumumkan bahawa Covid-19 akan dianggap sebagai endemik dan negara akan beralih daripada pendekatan pembendungan total.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, fasa endemik itu dijangka bermula pada akhir Oktober ini, dengan kadar imuniti kelompok diharap mencapai 80 peratus.

Beliau berkata, ketika ini Labuan dan Sarawak sudah mencapai fasa endemik, selain negara lain yang kebanyakannya sudah beralih ke fasa itu dan pengenalan norma baharu untuk hidup dengan lebih sihat serta selamat.

Katanya, rakyat juga perlu menerima hakikat sekalipun negara berjaya mengawal pandemik, semua pihak perlu menerima kenyataan akan tiba masanya nanti COVID-19 menjadi endemik.

“Berikutan itu, semua pihak perlu mengambil langkah untuk hidup bersama virus, termasuk mengambil beberapa tindakan seperti perubahan kepada tingkah laku dan usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berterusan.

“Kerajaan akan umumkan beberapa langkah untuk memudahkan SOP sedia ada supaya tidak terlalu banyak dan rumit. Sebagai persediaan untuk hidup bersama COVID-19, tindakan berikut perlu dilakukan oleh seluruh masyarakat iaitu mengamalkan norma baharu,” katanya pada sidang media pertamanya hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Menurutnya, fasa endemik akan memungkinkan lebih banyak sektor dibuka kembali, dan dia berharap hal ini dapat terjadi pada bulan Oktober ketika Malaysia mencapai imuniti kelompok.

Mengenai pemakaian pelitup muka, kementerian katanya, tidak mempunyai perancangan untuk melonggarkan keperluan pemakaian pelitup muka.

Kementerian itu ujarnya, mengambil iktibar terhadap kelonggaran terhadap pemakaian pelitup muka yang diberikan di sesetengah negara yang kemudiannya terpaksa dilaksanakan semula selepas berlaku penularan varian baharu.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, kementeriannya akan lebih telus dalam mengeluarkan data berhubung Covid-19 selepas ini.

Beliau berkata, ini supaya tiada lagi dakwaan kementerian itu merahsiakan data.

“Banyak data sudah disenaraikan secara terbuka tetapi saya telah membuat ketetapan bahawa budaya kerja KKM selepas ini akan lebih kepada ketelusan.

“Ini supaya tiada persoalan mengenai kepercayaan kepada kerajaan, tidak ada lagi tuduhan kerahsiaan atau pemalsuan maklumat,” katanya.

Khairy turut menegaskan buat masa ini tiada kematian dilaporkan berkaitan vaksin.