PENAMBAHBAIKAN syarat permohonan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) perlu dilakukan selepas semakan Jabatan Imigresen mendapati lebih 7,000 peserta program itu dipercayai tidak bermastautin di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, golongan ini hanya masuk dan datang ke Malaysia untuk tempoh yang singkat, iaitu semasa mendaftar permohonan dan semasa memperbaharui pas sahaja.
“Saya tahu ini (penambahbaikan) timbulkan rasa gusar kepada mereka yang sudah mendaftar sebagai peserta MM2H. Jangan risau atau terganggu, saya beri jaminan akan melihat semula kedudukan mereka yang sudah menyertainya.
“Saya nak anda semua tahu, penambahbaikan kepada syarat permohonan dilakukan untuk memastikan hanya peserta yang berkualiti, ‘genuine’ dan benar-benar menyumbang kepada ekonomi negara layak menyertai program MM2H,” katanya pada sidang media pertama selepas dilantik semula ke portfolio menteri dalam negeri.
Pada Isnin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, kerajaan perlu menyemak semula syarat program MM2H bagi mencapai imbangan positif antara kemasukan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negara.
Baginda bertitah, program MM2H yang dibenarkan beroperasi semula dengan beberapa syarat baharu kepada peserta, dilihat terlalu ketat dan mahu kerajaan mempertimbangkan semula syarat baharu ditetapkan itu kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan kemasukan peserta baharu dan pemegang pas MM2H sedia ada.
Sejak program MM2H dimulakan pada 2002, hanya 57,478 warga asing diberikan pas jangka panjang MM2H membabitkan 28,249 prinsipal dan 28,229 tanggungan.
Bagaimanapun, program itu dihentikan sementara pada Sept 2018 untuk dikaji semula, dengan syarat baharunya diperkenalkan minggu lalu dengan kerajaan menetapkan bilangan peserta program berkenaan kira-kira 1% daripada populasi negara, iaitu sekitar 320,000 orang .
Berdasarkan syarat baharu ditetapkan, pendapatan luar negara peserta MM2H perlu sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.
Pemilikan akaun simpanan pula sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak mereka.
Peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta sementara kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, semua pihak diminta memandang keputusan kerajaan itu dalam ruang lingkup yang lebih luas memandangkan syarat program berkenaan sudah 20 tahun tidak dikemas kini.
“Jangan tengok satu sudut semata-mata, tetapi tengoklah masa depan negara, dari sudut pendapatan dan ekonomi negara… sudah 20 tahun sejak program ini diperkenalkan, kita tidak tukar dari segi kedudukan kriteria, sebab itu kita umum kriteria lebih baik untuk masa depan negara yang lebih terjamin,” ujarnya.
Malah, beliau menegaskan syarat pendapatan bulanan peserta MM2H sudah tidak relevan malah ia terlalu rendah pada masa ini.
Tambah beliau, dasar baharu MM2H juga dibuat bagi memastikan aspek keselamatan negara tidak akan dikrompomi.
“Semua pemohon dan tanggungan perlu lulus tapisan keselamatan daripada pihak berkuasa. Bagi mereka yang aktif dan duduk di negara ini atas sebab-sebab tertentu kita akan bincang semula dengan mereka.
“Contoh mereka yang duduk lebih 10 tahun.. kita akan cari cara untuk terus bagi mereka duduk di sini, kalau boleh mereka yang duduk di sini adalah mereka yang berkualiti dan mampu bantu kita dari segi ekonomi,” katanya.
Sejak 2002 hingga 2019, program MM2H merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.