MESYUARAT pertama penggal keempat Parlimen ke-14 yang sepatutnya berlangsung pada 6 September dipinda kepada 13 September.
Makluman mengenai penangguhan sidang tersebut dikatakan disampaikan kepada Ahli-ahli Parlimen melalui sepucuk surat semalam.
Perkara ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam satu hantaran Facebooknya semalam.
Dalam hantaran itu, Mahfuz telah memuat naik gambar surat dari pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 30 Ogos yang memaklumkan kepada Ahli Parlimen mengenai pindaan tarikh Parlimen bersidang.
“Noted,” catat Mahfuz di laman sosial tersebut malam tadi.
Sidang Parlimen yang bakal berlangsung ini menjadi tumpuan kerana ini julung kalinya Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir sebagai Perdana Menteri.
Sidang Parlimen ini juga bakal menjadi ujian pertama Ismail Sabri yang dijangka melalui usul undi percaya terhadap Perdana Menteri seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Ogos lalu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.