Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Segerakan akta lompat parti -

Segerakan akta lompat parti

TINDAKAN melompat parti dalam kalangan wakil rakyat akan terus berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selagi tiada undang-undang yang menyekat ahli politik daripada berbuat demikian.

Justeru, akta berkaitan perlu digazetkan segera memandangkan fenomena politik hari ini menyaksikan tidak ada parti yang dominan untuk mengetuai kerajaan.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli ketika mengutarakan pendapat itu, menegaskan, pelaksanaan undang-undang itu juga berupaya mengelak situasi politik yang tidak stabil hingga tumbangnya kerajaan berpunca daripada wakil rakyat yang berpaling tadah.

RAZRUL ANWAR

“Apabila tiada parti yang dominan ini akan mendorong untuk tawar menawar atau membeli wakil rakyat. Kerajaan tidak pernah akan stabil jika ini berterusan dan segala rancangan untuk negara akan tergendala,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pemberian sumbangan kepada petugas barisan hadapan sempena Hari Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mid Valley di Johor Bahru hari ini.

Razrul Anwar berkata demikian sebagai mengulas ciapan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said di akaun Twitternya mengenai Akta Mencegah Lompat Parti baru-baru ini.

Azalina mencadang untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau ‘recall election’ perlu dipertimbangkan bagi menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat daripada melompat parti.

Sementara itu, Razrul Anwar berkata, semua wakil rakyat wajar menyokong akta itu dalam usaha mewujudkan politik yang sihat selain menjamin masa depan negara yang tidak lagi terjerumus dalam krisis berpanjangan.

Jelasnya, ini akan meletakkan penamat kepada amalan lompat parti setelah hak itu dipelihara di bawah Perkara 10, Perlembagaan Malaysia yang menyebabkan perbuatan itu berleluasa. – SB