PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyeru rakyat Malaysia mendalami tema sambutan Hari Kebangsaan 2021, Malaysia Prihatin serta memupuk sifat keprihatinan dalam diri.
Tegas Ismail Sabri dalam catatan di Facebook rasminya, prihatin adalah satu sifat yang perlu ada dalam diri setiap masyarakat di negara ini.
Jelas beliau keprihatinan juga akan membuatkan kita rasa empati terhadap kesusahan orang lain selain menjaga keselamatan dan kesihatan komuniti serta menjadikan rakyat bersatu hati memerangi musuh negara.
“Kerana itu, saya menyeru agar kita dalami tema ini dan pupuk sifat prihatin dalam diri kita.
“Saya pasti, dengan keprihatinan kita, Malaysia pasti dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan terus kekal aman makmur,” katanya.
Perdana Menteri dalam catatan yang itu, turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan 2021 kepada seluruh masyarakat.
Sambutan Hari Kebangsaan 2021 hari ini berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19.
Acara sambutan pada tahun ini telah dirancang rapi bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.
Ismail Sabri bagaimanapun menyertai sambutan tersebut secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.