Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Agong sertai operasi SAR tentera hilang di Sg. Pahang -

Agong sertai operasi SAR tentera hilang di Sg. Pahang

SIKAP prihatin dan berjiwa rakyat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini terserlah apabila baginda berkenan mencemar duli menaiki bot meskipun dalam keadaan hujan bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang semasa mengikuti Eksesais PARA Predator siri 1/2021 pada Ahad lepas. 

Al-Sultan Abdullah, yang mengenakan seragam tentera darat, mencemar duli menaiki bot disediakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang pada 4.40 petang ketika hujan renyai sebelum bertukar lebat kira-kira 10 minit selepas Seri Paduka menyertai operasi SAR Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa. 

Turut menyertai operasi yang berlangsung kira-kira setengah jam sebelum terpaksa ditangguhkan ekoran cuaca semakin buruk ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Pengarah JBPM Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa. 

Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Seri Norolazali Sulaiman. 

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah, yang berangkat tiba di lokasi SAR pada 3.45 petang, turut berkenan mendengar sembah taklimat operasi oleh Wan Mohammad Zaidi selain mencemar duli bertanya khabar kepada isteri mangsa, Nur Aqila Syafiqa Safuan, 23, yang tiba di lokasi pada kira-kira 5 petang. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menaiki bot bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang semasa mengikuti Eksesais PARA Predator siri 1/2021 pada Ahad lepas. – Gambar FACEBOOK ISTANA NEGARA

Mohamad Azrin, 25, dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang pada 4.40 petang Ahad semasa menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dari Kampung Batu Bor ke Kampung Bohor Baru, yang merupakan sebahagian daripada modul eksesais itu. 

Mangsa, yang merupakan anggota tinjau daripada Kompeni PANDURA, dikatakan tenggelam semasa hampir tiba ke tebing sungai dan cubaan rakannya untuk menarik Mohamad Azrin gagal sebelum bapa kepada seorang anak perempuan berusia sembilan bulan itu hilang daripada pandangan. 

Eksesais PARA Predator, yang merupakan latihan berskala besar bermula 24 Ogos dan dijadualkan berlangsung selama dua minggu, bertujuan memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar atur gerak tentera darat selain mendidik serta berkongsi pengetahuan mengenai peranan tentera dalam aspek keselamatan.

Wan Mohammad Zaidi berkata operasi SAR yang masuk hari ketiga itu membabitkan 116 pegawai dan anggota pelbagai pasukan keselamatan dengan kawasan pencarian diperluas sehingga tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilihat buat kali terakhir. 

“Pencarian hari ini juga melibatkan dua anjing pengesan bomba yang dibawa dari Kuala Lumpur untuk membantu tugas Pasukan Penyelamat di Air dari Temerloh, Pekan dan Kuantan. Cuaca yang tidak menentu merupakan cabaran utama selain keadaan sungai yang walaupun kelihatan tenang namun arus di dasar adalah kuat,” katanya. 

Turut terlibat dalam operasi itu ialah tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung dengan lebih 20 bot. 

Kenyataan di laman Facebook Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa menyantuni keluarga mangsa dan menzahirkan rasa simpati baginda dalam lawatan selama sejam setengah itu. 

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan agar keluarga Mohamad Azrin tabah serta sabar menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa bagi mengurangkan beban mereka.