KERAJAAN Negeri Selangor digesa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Selangor bagi menarik balik keputusan untuk menyahwarta sebahagian hutan simpan Kuala Langat Utara.
ADUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze mengingatkan kerajaan negeri bahawa sidang DUN pada Novermber 2020 secara sebulat suara meluluskan usul untuk memulihara hutan simpan di Selangor.
“Saya sangat kecewa. Namun ia belum terlambat. Keputusan masih boleh dipertimbangkan semula.
“Saya mohon kerajaan negeri berbuat demikian dan menghormati usul yang diluluskan pada sidang lepas. Usul tersebut mencerminkan suara rakyat,” kata Adun DAP itu menerusi laman Twitternya.

ADUN Kampung Tunku yang juga dari DAP, Lim Yi Wei senada dengan Michelle Ng dalam menyuarakan kekecewaannya berhubung keputusan tersebut.
“Saya tidak faham bagaimana Exco boleh kata tiada ageni kerajaan yang bantah penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara,” katanya di Twitter.

Menurutnya, antara agensi yang membuat bantahan adalah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

“Saya menggesa kerajaan Selangor untuk mempertimbangkan semula keputusan menyahwarta 536.70 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara,” tambahnya.
Kerajaan Selangor pada mulanya merancang untuk menyahwartakan kawasan seluas 991.9 hektar hutan itu termasuk penempatan Orang Asli, tetapi kemudian mengurangkannya ekoran bantahan yang meluas.
Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memasukkan kawasan yang penting untuk Orang Asli.
Penyahwartaan itu diputuskan pada Mei lalu tetapi hanya didedahkan minggu ini pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
Bagaimanapun, Lim menegaskan masyarakat Orang Asli akan tetap terjejas dengan keputusan itu.
“Walaupun (nyahwarta) tidak ada kampung atau kubur Orang Asli, ia masih merupakan tanah adat dan tanah rayau suku Temuan di situ,” ujarnya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.