KEHIDUPAN Halimah Che Mood, 62, sejak muda sering dibelenggu masalah kerana beliau mempunyai misai dan janggut.
Che Halimah ketika berkongsi kisahnya berkata, menurut doktor, masalah yang dialaminya itu disebabkan hormon testosteron yang tinggi.
Bekas tukang masak yang diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu juga memberitahu sejak usia awal 20-an, dia perlu bercukur dua atau tiga kali seminggu agar kelihatan seperti wanita biasa.
“Selama berpuluh-puluh tahun saya perlu bercukur agar tidak dipandang aneh oleh orang sekeliling. Namun, kini keadaan semakin teruk apabila saya diserang angin ahmar menyebabkan lumpuh separuh badan sebelah kiri.
“Saya bukan lelaki, tetapi wanita tulen. Saya tiada anak untuk menumpang kasih. Nasib baik adik, Mohammad Kamaruddin Abdullah, 42, dan isterinya, Nur Asmira Che Hussin, 36, sanggup menjaga segala makan dan minum saya serta ibu yang sudah tua, Kalsom Mamat, 93.” katanya dalam laporan Berita Harian hari ini.
Malah jelas beliau lagi, adiknya Nur Asmira, 36, yang membantu mencukur misai dan janggutnya agar tidak tumbuh panjang seperti lelaki.
Tambah wanita yang menetap di di Kampung Batu Karang di Pasir Mas, Kelantan itu, dia mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang biasanya digunakan untuk membeli keperluan lampin pakai buang dengan kos RM250 sebulan.
“Ketika masih sihat dan kuat, saya banyak merantau mencari rezeki termasuk beberapa tahun bekerja di Singapura sebagai tukang masak di restoran di sana. Sebolehnya, saya tidak mahu menyusahkan orang sekeliling, tetapi apakan daya, saya diuji dan kini hanya mampu terbaring jika tidak dibantu.
“Sebelum ini, saya tidak terbuka untuk memberitahu orang lain mengenai masalah saya kecuali dengan keluarga terdekat kerana ia membuatkan saya kurang keyakinan diri,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.