BEKAS Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai meninggal dunia di Hospital Gleaneagles di sini, awal pagi ini.
Perkara itu disahkan cucunya Ahmad Marzuki Nasir yang juga memaklumkan Sakaran, 91, meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi.
“Sama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.
Allahyarham dimasukkan ke hospital itu pada 18 Ogos kerana dijangkiti COVID-19, sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 25 Ogos.
Sakaran berasal dari Semporna berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada 1994.
Allahyarham memainkan peranan penting untuk Sabah dan negara khususnya, dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan masyarakat serta menyebarluaskan kesusasteraan Islam.
Jasa Allahyarham amat dihargai sehingga menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017.
Sakaran juga merupakan bapa saudara kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.