SEKTOR pelancongan di Terengganu akan dibuka secara rasmi kepada individu yang telah lengkap vaksinasi, mulai 1 Septer (Rabu) ini.
Pembukaan sektor pelancongan itu meliputi pulau peranginan terkemuka termasuk Pulau Kapas di Marang; Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Tenggol di Dungun, selain Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, antara SOP yang ditetapkan apabila sektor itu dibuka adalah hanya pelancong dalam negeri dan telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan dan pemilik premis perlu mematuhi protokol kesihatan umum bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.

“Sebenarnya pulau-pulau telah dibuka awal bulan ini kepada individu yang lengkap vaksin tetapi aktiviti seperti ‘snorkeling’ dan ‘diving’ tidak dibenarkan, jadi ramai pengusaha memilih untuk tidak beroperasi.
“Oleh itu bermula 1 September ini aktiviti-aktiviti tersebut akan dibenarkan namun penggiat dan pelancong perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Solat Hajat Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Terengganu Dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Kuala Terengganu, malam tadi.
Ariffin berkata, selaras dengan kebenaran pembukaan semula sektor pelancongan di negeri itu, inap desa dan hotel turut dibenarkan beroperasi, bagaimanapun, zoo, muzium, taman tema dan galeri seni masih tidak dibenarkan beroperasi.
Katanya, Pulau Perhentian juga masih ditutup berikutan terdapatnya kes positif COVID-19 dalam kalangan penduduk di pulau tersebut, sejak minggu lepas. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.