Polis siasat dakwaan jual slot vaksin kepada warga asing

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ada menerima laporan berhubung dakwaan penjualan slot vaksin Covid-19 kepada warga asing dengan kadar bayaran tertentu.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya menerima satu laporan daripada wanita berusia 31 tahun pada pukul 12.30 tengah hari semalam dan mendakwa terdapat ejen yang menawarkan slot vaksin Covid-19 kepada warga asing dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM380 seorang.

“Kita akan menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan itu dan setakat ini hanya satu laporan sahaja telah diterima.

“Oleh itu, saya meminta mana-mana pihak yang ada maklumat mengenai kegiatan tersebut agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana mana balai polis berdekatan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaiham memberitahu demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Ketua Penerangan MCA Pusat, Wong Siew Mun semalam yang mengatakan menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kegiatan ejen yang menjual slot suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Bentong.

Berikutan itu, dia kemudian membuat laporan di IPD Bentong tengah hari semalam.

Zaiham menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan sama sekali menidakkan hak rakyat Malaysia yang masih menunggu giliran apatah lagi ramai yang meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum mendapat giliran suntikan vaksin.

“Polis memohon mana-mana pihak atau individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan penjualan vaksin Covid-19 seperti dakwaan itu agar hubungi pihak berkuasa dengan segera,” tambah beliau. – SB