PERUNDING teknikal pertandingan dan liga profesional Persatuan Bolasepak Oman (OFA), Mohd. Saifuddin Abu Bakar sah dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu.
Badan induk bola sepak negara itu dalam satu kenyataan mengatakan lantikan Saifudin bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Stuart Ramalingam itu akan berkuatkuasa 1 September.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan perunding teknikal pertandingan dan liga profesional Persatuan Bolasepak Oman (OFA), Mohd. Saifuddin Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha Agung badan induk itu yang baharu.
FAM percaya dengan pengalaman luas di peringkat domestik dan antarabangsa serta latar belakang dan kelayakan yang dimilikinya, Mohd. Saifuddin mampu membawa badan itu ke tahap lebih tinggi sambil memenuhi aspirasi pemegang taruh.
“Selamat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara,” kata badan induk itu hari ini.
Mohd. Saifuddin, 60, mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai Pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1991 sebelum menjawat tugas di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003 termasuk sebagai Ketua Jabatan Pertandingan.
Kemudiannya, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia tersebut menyertai menyertai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau dari 2003 hingga 2007.
Selepas itu, beliau kembali ke FAM sebagai Penolong Setiausaha Agung dari 2007 hingga 2009 sebelum berhijrah ke Timur Tengah untuk menjadi Penolong Ketua Pertandingan Qatar Stars League.
Dari Qatar, beliau kembali ke tanah air untuk berkhidmat sebagai perunding teknikal Oman OFA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019.
Mohd. Saifuddin juga adalah Komisioner Perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.