Mahkamah Tinggi tetapkan tarikh keputusan lucut hak barangan milik Najib

0
467

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 8 November sebagai tarikh untuk menentukan sama ada membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak pelbagai barangan yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta beberapa individu dan syarikat selepas 9 Mei 2018.

Keputusan itu telah dibuat oleh Hakim, Mohamed Zaini Mazlan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menghantar penghujahan bertulis untuk menyokong permohonan itu.

Harris berkata, mereka akan bergantung pada penghujahan bertulis dan tidak akan membuat penghujahan lisan di mahkamah.

“Saya percaya semua telah bersetuju untuk mahkamah menetapkan tarikh bagi keputusan itu,” katanya.

Hakim secara berseloroh membalas dengan berkata Ia akan menjadi minggu yang baik.

Zaini turut berkata, mahkamah memerlukan kira-kira dua bulan untuk membuat keputusan dan menyediakan penghakiman bertulis sebelum 8 November.

Kerajaan memohon untuk melucut hak beratus-ratus barangan yang dirampas daripada Najib dan 17 individu serta syarikat pada 2018, dengan mendakwa barangan itu diperolehi daripada aktiviti yang melanggar undang-undang.

Antara individu yang dinamakan dalam permohonan pelucutan hak itu adalah Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Aziz, anak-anak Najib, bekas pegawai bank Goldman Sachs dan ibu Low Taek Jhor, Goh Gaik Ewe.

Barangan itu termasuk beg tangan mewah, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, jam tangan, kasut dan 27 buah kenderaan dan wang sebanyak RM18 juta dalam beberapa akaun simpanan dan sebuah banglo milik keluarga Low di Tanjung Bungah, Pulau Pinang turut dirampas.-SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here