Lebih 62 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi: JKJAV

SEJUMLAH 62.6 peratus atau 14,648,590 individu daripada populasi dewasa di seluruh negara lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter memaklumkan, sebanyak 82.8 peratus atau 19,389,392 orang adalah penerima dos pertama.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 34,027,548 dos.

Labuan terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 93.2 peratus atau 63,830 orang daripada populasi dewasa wilayah persekutuan itu lengkap dua dos vaksin.

Sementara itu, jumlah pemberian vaksinasi harian semalam adalah sebanyak 302,804 dos membabitkan 142,186 dos pertama dan 160,618 dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok COVID-19. – SB