Kabinet baharu perlu terima penyertaan semua pihak – Presiden Pas

KABINET baharu perlu bersikap terbuka dengan menerima penyertaan daripada semua pihak untuk sama-sama memainkan peranan dalam mempercepatkan proses pemulihan negara, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan harus mendengar dan menerima kritikan yang membina daripada semua pihak dengan melakukan muhasabah terhadap kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

“Kita mengharapkan segala tumpuan diberikan kepada aspek untuk menyelesaikan masalah asasi yang terdesak dalam keadaan darurat hari ini.

“Peranan mereka yang berada di barisan hadapan juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius dari segi pengorbanan harta dan jiwa raga yang dikorbankan demi menyelamatkan nyawa rakyat dan negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, tawaran kepada pihak pembangkang pada awalnya ditolak kerana kerakusan mereka untuk berkuasa semula, akhirnya dapat diterima.

Ini susulan daripada jemputan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terhadap tiga parti utama komponen Pakatan Harapan yang disambut baik dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga berjanji untuk memudahkan urusan pentadbiran pemimpin Umno itu susulan pertemuan mereka di Putrajaya pada 25 Ogos lalu.

“Akhirnya tawaran itu diterima, walaupun sebahagiannya sudah ditarik. Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik,” katanya.

Beliau turut berkata, keadaan itu mencerminkan satu suasana yang sangat positif kepada Kabinet baharu dan jentera kerajaan yang menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15.

“Jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

“Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengganas. Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga. 

“Hal ini disebabkan mereka yang menjadi mangsa wabak pandemik tidak mengenal, sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, termasuklah kalangan yang membisu di atas pagar,” ujarnya. -SB