HOSPITAL kerajaan di Pulau Pinang yang semakin terbelenggu apabila negeri itu merekodkan jumlah jangkitan tertinggi COVID-19 berdasarkan penduduk telah memaksa kerajaan negeri menghantar ‘isyarat S.O.S’ kepada Putrajaya agar segera menghantar kakitangan perubatan bagi menampung hospital-hospital berkenaan.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, ketika ini negeri itu mencatatkan kadar penularan 95.5 kes per 100,000 penduduk (purata tujuh hari) setakat semalam, negeri itu mengatasi Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut Chow, hospital kerajaan di negeri itu terpaksa menolak pesakit COVID-19 yang mengalami gejala lebih ringan kerana memfokuskan kes yang serius dan nazak.
Katanya, walaupun ramai telah menyumbang katil, mesin oksigen dan peralatan perubatan namun tidak cukup doktor, pakar serta jururawat untuk merawat pesakit.
“Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin patut membawa lebih ramai kakitangan perubatan dari negeri yang kurang terjejas ke hospital awam di Pulau Pinang dan mengarahkan hospital swasta mengasingkan 30% katil mereka untuk pesakit COVID-19.
“Pesakit perlu dipindahkan segera dari hospital awam ke kemudahan perubatan swasta, malah hotel juga telah digesa mengubah suai bilik penginapan mereka menjadi pusat kuarantin risiko rendah,” katanya kepada pemberita dalam siding media di Komtar pada Isnin.
Buat masa ini terdapat 70 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 876 katil bukan kritikal di negeri itu, yang semuanya dipenuhi pesakit COVID-19 di hospital kerajaan.
Menurutnya lagi, Peningkatan kes dalam dua minggu lalu membelenggu sistem penjagaan kesihatan negeri itu serta hospital kini memfokuskan untuk mengurangkan jumlah kematian bagi mengelak sistem penjagaan kesihatan terus terjejas.
“Ketika Lembah Klang mengalami lonjakan kes, Pulau Pinang telah menghantar kakitangan untuk membantu.
“Kementerian Kesihatan kini patut menghantar lebih ramai kakitangan ke utara terutama Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chow menafikan spekulasi bahawa saringan besar-besaran di negeri itu sejak dua bulan lalu yang menyumbang kepada bilangan kes tinggi tetapi sebaliknya ia kurang daripada suku kes berkenaan.
Beliau turut menggesa lebih banyak vaksin dihantar ke Pulau Pinang supaya vaksinansi penuh golongan dewasa dicapai pada hujung Oktober ini.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.