54% Hutan Simpan Kekal Kuala Langat dinyahwartakan

Exco Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, Kerajaan Selangor telah bersetuju untuk menyahwartakan 536.7ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) untuk dibangunkan.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Keputusan itu kemudian disahkan dalam mesyuarat lain pada 19 Mei,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, 42.1ha daripada tanah yang diluluskan itu akan diberikan kepada syarikat swasta, Gabungan Indah Sdn Bhd untuk pembangunan bercampur.

Pengumuman kerajaan negeri itu turut mengejutkan ADUN yang mendesak penjelasan lanjut diberikan.

Elizabeth Wong (PH-Bukit Lanjan) mempersoalkan kewajaran menyahwartakan tanah hutan simpan itu kerana projek pembangunan di KLNFR akan menjejaskan biodiversiti hutan berkenaan.

“Malah, hutan Kuala Langat Utara juga ada flora dan fauna yang endemik, iaitu hanya didapati di kawasan tersebut, contohnya ‘Selangor Pigmy Flying Squirrel’ dan ‘Langat Red Fighting Fish’ yang secara terang-terangan menggunakan nama Selangor dan Langat.” katanya.

Selain itu, Rajiv Rishyakaran (PH-Bukit Gasing) pula mempersoalkan rasional dan manfaat penyahwartaan tanah itu kepada rakyat negeri.

“Saya nak tanya, kenapa kerajaan negeri begitu menekan dan tergesa-gesa menyahwartakan status hutan simpan ini? Apakah rasional dan manfaat strategik kepada keseluruhan enam juta rakyat apabila kita menyahwartakan hutan ini?” soalnya.

Loy Sian bagaimanapun menyifatkan bantahan itu sebagai beremosi dan berkata, kerajaan negeri tidak melayan bantahan mana-mana pihak. -SB