PELBAGAI langkah yang dilaksanakan bagi memerangi COVID-19 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu mula membuahkan hasil.
Malah, menurut analisis firma penyelidikan antarabangsa, Asia Analytica baru-baru ini, perkembangan memberangsangkan itu memang sudah dijangka dari awal.
Antara yang dapat dilihat dengan ketara adalah penurunan mendadak jumlah kes positif dan kematian akibat wabak itu di Lembah Klang sejak kebelakangan ini.
Selain itu, kadar kemasukan ke hospital juga semakin berkurangan apabila kadar vaksinasi semakin bertambah.
Menurut firma penyelidikan itu lagi, situasi itu sememangnya boleh dijangka, walaupun pada mulanya ramai yang mempertikaikannya.
Pprogram vaksinasi merupakan kunci kepada penurunan mendadak jangkitan kes positif dan kematian akibat COVID-19 di Lembah Klang.
Peningkatan jumlah individu yang telah melengkapkan vaksinasi juga menyaksikan penurunan kadar kemasukan ke hospital kerana semakin ramai penduduk yang kini mempunyai imuniti terhadap COVID-19.
Yang terkini, kadar penggunaan katil hospital di Selangor telah menurun sehinggga 35 peratus.
Dengan berkurangnya jumlah pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital, jumlah individu yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan juga berkurangan.
Situasi itu sekali gus mengurangkan tekanan terhadap petugas Kementerian Kesihatan yang sebelum ini berdepan dengan kemasukan pesakit COVID-19 yang tinggi di sekitar Lembah Klang.
“Sebenarnya, apa yang kita lihat sekarang benar-benar dapat diramalkan, berdasarkan tindakan masa lalu dan tempoh masa yang diperlukan untuk membuahkan hasil,” kata firma penyelidikan itu.
Namun, perkembangan positif itu tidak bermakna orang ramai boleh memandang remeh terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana COVID-19 masih ada di sekeliling mereka.
Cuma, kesan jangkitan virus tersebut terhadap mereka yang telah divaksinasi adalah kurang berbanding mereka yang enggan mengambil vaksin.
Setakat ini, lebih 60 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima dos lengkap vaksin dan imuniti kelompok dijangka dapat dicapai selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Kadar vaksinasi yang pantas di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga telah menerima pujian daripada negara-negara lain.
Pentadbiran Muhyiddin telah meletakkan asas yang kukuh bagi memerangi COVID-19 dengan memastikan negara ini dapat mencapai imuniti kelompok dalam masa yang singkat.
Prestasi tinggi ini perlu diteruskan oleh pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar kita semua dapat mengucapkan selamat tinggal kepada COVID-19.
KKM dalam kenyataannya semalam memaklum, daripada 22,597 kes harian yang dilaporkan pada 28 Ogos, sebanyak 468 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 22,129 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Menurut KKM, data berkenaan adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.
Selain itu, kes baharu yang dicatatkan hari ini majoritinya melibatkan pesakit yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi.
Untuk rekod, sebanyak 61.1 peratus atau 14,297,962 daripada populasi dewasa Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing, manakala 81.5 peratus atau 19,090,140 lagi menerima sekurang-kurangnnya satu dos suntikan.
Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini juga menunjukkan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan Februari lalu hingga semalam, lebih 33.38 juta dos vaksin telah diberikan.
Dari segi populasi keseluruhan Malaysia, sebanyak 58.5 peratus individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19, manakala 64 peratus lagi melengkapkan suntikan masing-masing. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.