Pekerja asing bakal divaksin di tempat kerja

PEKERJA-pekerja kilang warga asing di dalam negara bakal divaksin di tempat kerja masing-masing bagi membolehkan sasaran kadar vaksinasi 80 peratus dapat dicapai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam catatan Facebooknya sebentar tadi menyatakan kilang-kilang seharusnya menyumbang kepada percambahan ekonomi dan bukan pusat penyebaran Covid-19.

Oleh sebab itu, beliau menegaskan agar semua pemilik kilang yang mempunyai pekerja asing menjadikan premis mereka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

“Saya juga telah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan supaya pekerja asing tidak lagi perlu beratur dan menyebabkan kesesakan di PPV sebaliknya hanya mendapatkan vaksin di tempat mereka bekerja.

“Pendirian kerajaan adalah jelas dan tegas bahawa sesebuah kilang itu hanya dibenarkan untuk beroperasi semula setelah mencapai 80% kadar vaksinasi,” kata beliau.

Ismail Sabri turut menegaskan, pemberian vaksin secara pandu lalu juga akan dipertingkatkan dalam masa terdekat supaya rakyat tidak perlu menunggu lama, cukup sekadar 15 minit di dalam kereta dan boleh terus dapatkan dos suntikan. – SB