KESATUAN Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menegaskan Datuk Seri Noraini Ahmad tidak layak dilantik semula menerajui Kementerian Pengajian Tinggi kerana gagal menjalankan tugasnya sebelum ini.
Noraini sebelum ini meletak jawatan semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin kerana kerana bersekongkol dengan kumpulan 15 diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin.
Dalam kenyataan hari ini, KMUM berkata, pelantikan Noraini tidak mencerminkan visi ke arah mewujudkan perubahan baru yang lebih baik.
“Jawatan ini tidak seharusnya diberikan begitu sahaja sebagai pemenuh kerusi buat ahli politik semata-mata.
“Kegagalan beliau dalam menjalankan tugas sewaktu beliau memegang jawatan tersebut dalam kerajaan yang lepas telah membuktikan bahawa beliau tidak sesuai untuk memegang jawatan ini tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang menteri pengajian tinggi,” kata KMUM.
KMUM berkata, antara siri kegagalan tersebut adalah apabila KPT tidak merancang pergerakan pulang mahasiswa ke kampung halaman mereka dengan sebaiknya ketika pandemik Covid-19.
Kegagalan itu menyebabkan sehingga kini KPT masih belum dapat menyelesaikan tuntutan KMUM mengenai kos ujian calitan RT-PCR yang perlu ditanggung sendiri oleh mahasiswa Sabah dan Sarawak.
“Pada Oktober lepas, kebanyakan mahasiswa ambilan baharu telah mengalami masalah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing apabila pengumuman penangguhan pendaftaran secara bersemuka diumumkan sehari sebelum pendaftaran di kampus berlaku.
“Ini merupakan suatu permasalahan apabila pengumuman ini dibuat seolah tidak mengambil kira kebanyakan mahasiswa dari negeri lain yang hadir ke kampus untuk mendaftar tidak dapat menetap di kolej,” kata KMUM.
Selain itu, KMUM juga berpandangan bahawa bahawa Noraini gagal dalam menggerakkan usaha untuk memansuhkan AUKU, sekaligus menunjukkan bahawa pihak kerajaan sepertinya tidak berminat membudayakan pemikiran secara kritis dan demokratik.
KMUM sedia maklum bahawa halangan-halangan yang termaktub di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) telah memberi beberapa kekangan daripada pelbagai sudut buat mahasiswa.
“Kekangan dari segi autonomi kewangan di mana wujudnya karenah birokrasi pentadbiran universiti dan halangan bagi para mahasiswa dan mahasiswi untuk bebas bersuara masih lagi wujud walaupun dilihat kini tidak lagi relevan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.