[VIDEO] Motif Zahid gesa tubuh RCI terus dipersoal

PEMIMPIN pembangkang dan peguam mempersoalkan apakah motif di sebalik desakan UMNO agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), bagi menyiasat pendedahan bekas peguam negara, Tommy Thomas berhubung campur tangan politik dalam isu kehakiman.

Mereka juga mempersoalkan apakah ia merupakan helah Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kluster mahkamah parti itu untuk melepaskan diri dari perbicaraan mahkamah.

Memetik laporan MalaysiaNow, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, permohonan Zahid yang kononnya dibuat atas nama reformasi institusi kehakiman dilihat sebagai tidak jujur.

“Kenapa hanya pendedahan Tommy? Apakah Zahid nak selamatkan diri sendiri? Kalau dia berpegang kepada justice for all, mohonlah siasat semua kes.

“Kalau Zahid jujur nak tubuhkan RCI, patutnya tubuh juga RCI untuk siasat semua kes berprofil tinggi bukan hanya pendedahan Tommy Thomas semata-mata,” katanya.

Ahmad Zahid selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat, mengeluarkan kenyataan yang antaranya mengatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan Thomas dalam melalui memoirnya My Story: Justice in the Wilderness.

“UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan,” tegas ahli Parlimen Pulai itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dari PKR pula menyatakan Ahmad Zahid sebenarnya tidak memahami pendedahan Thomas.

Menurutnya, permohonan Zahid dan UMNO itu tidak perlu dilayan sama sekali.

“Sekiranya ada RCI yang akan dibentuk, ia mesti  dilakukan terhadap reformasi institusi yang mempengaruhi kita dari segi ekonomi, sosial terutama kesihatan dan politik yang melibatkan ketiga-tiga cabang pemerintahan.

“Dan sekiranya ia berlaku, cadangan tersebut mesti didedah, dibahas dan diluluskan di Parlimen,” katanya menurut laporan MalaysiaNow.

Pada masa yang sama, pengamal undang-undang, Haniff Khatri Abdulla pula berpandangan bahawa “ada udang disebalik batu” di sebalik kenyataan Zahid.

Menurut beliau, jika benar ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu membuat reformasi institusi kehakiman, mengapa tidak dimasukkan sekali pendedahan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Becker.

Katanya, perkara itu pernah disebut Dr Mahathir Mohamad pada 21 Februari 2019.

“Jika permohonan dia ada asas, ia boleh diteruskan. Persoalannya sekarang kenapa Tommy Thomas saja? Kenapa tidak termasuk pendedahan Hamid Sultan?

“Apakah Zahid ada udang disebalik batu? Tapi kalau Perdana Menteri Ismail Sabri  setuju dengan permohonan Zahid, saya minta mestilah dibuat dengan pendedahan Hamid Sultan untuk membuktikan kerajaan baru benar-benar ada integriti. Teruskan apa yang Mahathir mahu lakukan dulu,” katanya kepada merujuk kepada pendedahan Hamid berhubung campur tangan dalam badan kehakiman.

Ahmad Zahid, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri. – SB