Lebih RM1.3 juta disediakan untuk usahawan muda tani Kelantan

KERAJAAN negeri Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM1.3 juta untuk membangunkan sektor pertanian, khusus bagi melahirkan usahawan tani dalam kalangan anak muda, tahun ini.

Pengerusi Jawatakuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, seramai 50 peserta dipilih sebagai projek permulaan, sebelum dikembangkan secara lebih meluas.

“Projek itu membabitkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau yang juga ADUN Selising berkata, kerajaan negeri akan membantu mereka dengan menyalurkan peruntukan lebih RM20,000 kepada setiap peserta yang terpilih, untuk mengusahakan tanaman jangka pendek menerusi sistem fertigasi.

“Mereka sudah dilatih dengan menggunakan kaedah pertanian moden dan mengadakan ladang kontrak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), bagi menjamin pemasaran,” ujarnya. – SB