Aset AKSEM di Kelantan diambil alih PGA mulai 1 Oktober

SEMUA aset termasuk kenderaan dan bangunan milik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di Kelantan bakal diambil alih oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) mulai 1 Oktober ini susulan pembubaran agensi itu oleh kerajaan, baru-baru ini. 

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Hasan Basri Ahmad Safar berkata, susulan itu 101 anggota polis yang berkhidmat di dalam agensi berkenaan di negeri ini juga akan diserapkan ke dalam PGA.

Beliau berkata dengan pembubaran itu juga pejabat Aksem di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang akan diserahkan kepada PGA.

“Setakat ini anggota polis di dalam Aksem akan diserapkan ke dalam satu kompeni Batalion Ke-8 PGA yang berpangkalan di Pengkalan Chepa di sini.

“Kita berharap segala proses akan berjalan dengan sempurna bagi melancarkan dan memperkasa penugasan anggota di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya kepada media, di Kem Batalion Ke-8 PGA Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.

Hasan Basri juga berkata, penugasan Aksem di tiga sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Lalang Pepuyu di Tanah Merah, Neting di Pengkalan Kubor serta Chabang Empat Salam di Rantau Panjang, Kelantan, juga akan diambil alih oleh PGA.

Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan Aksem dibubarkan manakala tugas agensi tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia.

Dengan pembubaran itu, PGA akan meneruskan semua fungsi Aksem di sempadan negara menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada. – SB