60 peratus pasar tani akan dibuka secara berperingkat

0
614
GAMBAR HIASAN

SEBANYAK 60 peratus daripada 350 pasar tani di seluruh negara akan dibuka secara berperingkat sehingga akhir tahun ini dengan mengadaptasi prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian pasar segar terkawal (PST).

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, pembukaan pasar tani berkenaan selaras dengan kelonggaran yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, SOP yang ketat seperti pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu serta laluan keluar dan masuk ke tapak akan diamalkan secara berterusan di semua pasar tani sebagai salah satu budaya norma baharu dalam kehidupan seharian akibat wabak COVID-19.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin kepada pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar Rasyidin, Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Pasar tani telah dibuka di negeri yang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis. – SB