Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
UMNO sepatutnya bantu PM, elak tuntutan tidak perlu -

UMNO sepatutnya bantu PM, elak tuntutan tidak perlu

PARTI-PARTI politik terutamanya UMNO seharusnya memberikan dokongan yang secukupnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memacu negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Rusdi Omar berkata, kerajaan dan juga Kabinet yang baru ditubuhkan itu sepatutnya tidak dibebankan dengan desakan-desakan yang tidak perlu daripada mana-mana parti politik.

“Sepatutnya, fokus utama UMNO adalah membantu Perdana Menteri. Malah, Perdana Menteri juga daripada UMNO,” katanya kepada SatuBerita.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO semalam yang menyenaraikan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian kerajaan.

Ini termasuk mendesak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

Rusdi berkata, tidak salah mendesak ditubuhkan RCI tetapi, biarlah sehingga keadaan negara kembali stabil dari segi kesihatan dan ekonomi.

Beliau menambah, pemimpin-pemimpin parti politik seharusnya memiliki jiwa yang besar dan matang kerana rakyat sudah muak dengan kemelut politik yang mengakibatkan pertukaran Perdana Menteri beberapa kali.

“Tentang kuasa, jawatan dan sebagainya sepatutnya difikirkan kemudian. Bila negara sudah stabil, barulah fikirkan apa yang perlu diketengahkan.

“Kalau tiada kerjasama daripada semua pihak termasuk melibatkan pembangkang, saya rasa kemelut politik dan juga ekonomi negara tidak dapat diselesaikan. Semua pihak perlu bekerjasama,” tambahnya.

Selain desakan untuk menubuhkan RCI, Mesyuarat MKT berkenaan juga mencadangkan supaya kerajaan menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan tidak lagi menggunakan perkataan kerajaan Perikatan Nasional.–SB