Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Rancangan Malaysia ke-12 akan tetapkan hala tuju ekonomi - Mustapa -

Rancangan Malaysia ke-12 akan tetapkan hala tuju ekonomi – Mustapa

RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi, akan menetapkan hala tuju ekonomi negara untuk jangka sederhana dan jangka panjang, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkongsi penekanan mengenai RMKe-12 tersebut selepas pelantikan beliau bagi menyandang semula tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam barisan Kabinet baharu yang diumumkan semalam.

“Saya percaya kombinasi barisan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan efisien demi kesejahteraan rakyat serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada pandemik COVID-19,” kata beliau dalam kenyataan media di sini, pada Jumaat.

Mustapa juga menyifatkan pelan tersebut sebagai kesinambungan terhadap asas yang dibina oleh Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Insya Allah, barisan jemaah menteri dan timbalan menteri ini akan berganding bahu untuk memastikan agenda budaya kerja prestasi tinggi yang dibawa oleh Perdana Menteri dapat dijayakan,” kata beliau.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Jeli itu juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk terus melaksanakan tugas sebagai menteri dalam portfolio itu.

“Sesungguhnya ini adalah satu amanah besar untuk menjayakan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” kata beliau.