Emas pertama Malaysia! Terima kasih Bonnie – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang telah mengharumkan nama negara dengan meraih emas pertama negara dalam temasya Paralimpik Tokyo 2021 hari ini.

Ismail Sabri dalam hantaran Facebook beliau berkata, kejayaan atlet powerlifting negara itu merupakan satu kebanggaan buat negara apabila lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar di Tokyo.

“Emas Pertama Malaysia! Terima kasih Bonnie Bunyau Gustin kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat emas bagi acara angkat berat lelaki.

“Anda kebanggaan kami apabila lagu Negaraku berkumandang dan bendera Jalur Gemilang berkibar di bumi Tokyo,” katanya.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih dan kontinjen Malaysia.

Bonnie hari ini melakukan angkatan menakjubkan apabila menghadiahkan emas pertama buat negara pada hari keempat Sukan Paralimpik.

Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung. – SB