Dua PPV Mega di Melaka dibuka isnin ini

KADAR suntikan vaksin COVID-19 di negeri Melaka dijangkakan mampu meningkat kepada 22,000 penerima sehari dengan pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Stadium Hang Jebat dan Stadium Mini Jasin bermula isnin ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata PPV Mega Stadium Hang Jebat mampu memberi vaksinasi sehingga 5,000 penerima sehari manakala PPV Mega Stadium Mini Jasin pula mampu menampung kapasiti 3,000 suntikan sehari.

“Kita tetapkan di kedua-dua PPV mega ini, tidak buat secara ‘walk-in’ (jumpa terus). Semuanya perlu melalui MySejahtera kerana bimbang tidak dapat mengawal kesesakan orang ramai nanti.

“Bagaimanapun, masyarakat jangan bimbang walaupun tak buat ‘walk-in’ kita akan pastikan semuanya dapat vaksin. Cuma harap dapat bersabar sedikit sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Melaka hari ini.

Menurut beliau lagi, pemasangan khemah dan operasi vaksinasi yang tidak melibatkan padang stadium di PPV Mega Stadium Hang Jebat tidak akan mengganggu perlawanan bola sepak Liga Super.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri memutuskan untuk menutup PPV di Tanjung Minyak, Klebang dan Dewan Alamanda di Jasin dengan pembukaan dua PPV mega berkenaan.

“Hingga semalam, suntikan dos pertama di negeri ini mencapai hampir 80 peratus dan kita cuba habiskan suntikan dos pertama ini pada September dengan kapasiti 22,000 sehari.

“Ada beberapa PPV yang dah tak berapa praktikal untuk dibuka. Jadi petugas di situ boleh bantu di PPV mega bagi membantu kelancaran operasi di PPV mega,” ujarnya. –SB