PELANTIKAN Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan pada Jumaat telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen yang mempersoalkan kredibiliti beliau menguruskan kementerian berkenaan kerana tiada latar belakang bidang perubatan.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Mujibu Abd Muis menyangkal persoalan tersebut dengan menyatakan bahawa tiada masalah untuk seseorang yang tiada latar belakang dalam sesuatu bidang berkaitan dengan kementerian tertentu dilantik sebagai menteri.
“Pelantikan seseorang menteri itu adalah hak dan kuasa prerogatif Perdana Menteri.
“Barangkali pelantikan ini adalah berdasarkan prestasi Khairy yang menyerlah ketika beliau bertugas sebagai Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang menguruskan urusan vaksinasi negara.
“Jadi, mungkin PM nampak satu sinergi yang baik antara menteri dan juga Tan Sri Dr Hisham,” katanya ketika dihubungi Satu Berita.
Beliau menambah, sepatutnya persoalan sama ada seseorang menteri perlu mempunyai latar belakang dalam bidang tertentu untuk menguruskan sesuatu kementerian tidak ditimbulkan.
“Pelantikan menteri memberikan seseorang itu kuasa bagi menguruskan kementerian. Kita perlu ingat, tulang belakang Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri adalah pakar-pakar dalam bidang perubatan.
“Maka dengan pertimbangan itu, sememangnya tiada masalah biarpun Khairy tiada latar belakang dalam bidang perubatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut berpandangan bahawa pada hemah yang sepatutnya, sememangnya lebih bersesuaian sekiranya jawatan tersebut diberikan kepada mereka yang mempunyai latar belakang di dalam bidang berkenaan.
“Melantik individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang tersebut mungkin lebih menyenangkan mereka untuk menyesuaikan diri dalam menguruskan kementerian,” ulasnya. –SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.