BARU-baru ini tular gambar sekumpulan lelaki melakukan solat jemaah di kawasan tebing berbatu di sebuah air terjun di Gunung Jerai ketika membantu penduduk setempat mendapatkan sumber air bersih gara-gara banjir yang berlaku di Yan, Kedah.
Perbuatan mereka itu telah mengundang pelbagai reaksi dan perdebatan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Menjawab persoalan yang timbul, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, telah menyatakan solat yang didirikan di mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan suci adalah sah hukumnya.
“Dekat mana pun kita berada di muka bumi ini, kalau tempat itu suci maka sah untuk melakukan solat di tempat tersebut” katanya menerusi hantaran Youtube beliau.
Tambah Ustaz Azhar Idrus, Rasulullah S.A.W diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada para nabi yang lain dan antaranya ialah dijadikan bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci.
“Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati telah masuk waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.”
“Kita istimewa kerana umat Nabi Muhammad dibolehkan solat dimana-mana yang penting tempat itu suci” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya solat atas batu yang basah atau di tepi air terjun sekalipun, pastikan tidak menampakkan aurat kerana solatnya akan terbatal.
Walau bagaimanapun, Ustaz Azhar Idrus turut berpesan, sekiranya ada tempat yang lebih afdhal untuk solat maka dahulukan tempat tersebut.
“Lebih afdhal solat di Masjid, lagi banyak ganjarannya” kata beliau.
Namun, sekiranya tiada masjid yang berdekatan, maka solatlah di mana-mana sekalipun tetapi pastikan tempat tersebut suci. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.