Perubahan portfolio Khairy, Adham pendekatan strategik

PERTUKARAN portfolio Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan Datuk Seri Dr Adham Baba adalah satu pendekatan strategik berdasarkan kelebihan kedua-dua menteri berkenaan.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr. Nasruddin Mohamed menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah mengambil kira ketepatan kedua-dua menteri tersebut berasaskan kepada portfolio tertentu.

“Ada kebarangkalian bahawa dengan kompentesi, kemahiran dan personaliti atau pun perwatakan antara kedua-dua menteri tersebut lebih bersesuaian dengan portfolio yang sudah ditetapkan oleh Perdana menteri sebagaimana yang diumumkan pagi tadi,” ujarnya ketika dihubungi SatuBerita.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Sains Petadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, berkata, apa yang berubah ialah cuma dari segi pengkhususan bidang itu sendiri yang melibatkan kedua-dua portfolio.

“Apabila Khairy Jamaluddin diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan, ia lebih memperlihatkan bagaimana aspek pengoperasian dipihak Khairy Jamaluddin lebih berkesan untuk berhadapan dan juga menangani isu-isu berkaitan pentadbiran serta pengurusan Covid-19.

“Manakala, kompentensi, kecekapan, kemahiran dan perwatakan dari pihak Datuk Seri Dr Adham dilihat boleh membantu dan menyokong element pengoperasian yang melibatkan kedua-dua kementerian tersebut iaitu kementerian kesihatan dan juga (MOSTI) secara umumnya,” katanya.

Mengulas mengenai perubahan portfolio tersebut, beliau berkata, Perdana Menteri perlu diberi peluang untuk mencuba atau melaksanakan pendekatan ini.

“Ini suatu langkah yang berani sebenarnya, tetapi harus dihormati dan diberikan peluang yang sewajarnya kepada Perdana Menteri untuk melihat sama ada pendekatan itu berkesan dalam usaha menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Berikutan tentang beberapa menteri masih menggalas jawatan yang sama, beliau yakin keputusan itu telah diputuskan dengan penuh teliti oleh Ismail Sabri dengan mengambil kira beberapa pertimbangan.

“Saya percaya antara pertimbangan yang dibuat itu termasuklah soal-soal kesesuaian serta kecekapan menteri di portfolio yang berkenaan.

“Pengekalan menteri-menteri yang sebelum ini sudah pun diambil kira dengan sebaiknya oleh perdana menteri dengan mempertimbangkan bahawa tidak ada sebarang isu-isu yang boleh dianggap genting ataupun kritikal, yang boleh menggugat pengoperasian kerajaan terutamanya ketika berhadapan dengan wabak ini,” ujarnya. -SB