Noraini terima sambutan dingin netizen

NAMPAKNYA tindakan Datuk Seri Noraini Ahmad melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi awal Ogos lalu terus menghantui Ketua Wanita UMNO itu termasuk apabila dilantik semula ke jawatan itu hari ini.

Rata-rata netizen masih tidak melupakan tindakannya itu yang antara lain sebagai usaha memaksa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

“Haish, portfolio lama yang sama, hasilnya nanti tentu sama,” tulis Bryan Foo di Twitter.

Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan Kabinetnya, Noraini memuat naik status berterima kasih kepada perdana menteri.

Beliau turut berikrar akan menjalankan tugas sebaiknya berpandukan pendekatan keluarga Malaysia.

Namun ciapan itu banyak menerima reaksi negatif termasuk ada pengguna media sosial yang menggesa Noraini meletakkan jawatan.

“Amanah dulu awak rasa dah pikul sehabis baik?” ciap pemilik akaun Twitter Kakak Mongka.

“Letak jawatan saja YB,” kata pengguna media Twitter Lennon.

Terdapat juga netizen mendesak beliau segera mengurangkan kos yuran pengajian serta mempercepat pemberian vaksin kepada pelajar dan petugas institut pengajian tinggi (IPT).

“Tolonglah usahakan yuran kami untuk dikurangkan, kakitangan IPT, siswa dan siswi divaksin sebelum membenarkan pembelajaran bersemuka dibuat untuk semester depan.

“Saya risau dengan tahap kesihatan mental para pelajar dan pensyarah,” kata pengguna media sosial Shfarin.

Pada 6 Ogos, Noraini melepaskan jawatan tersebut serta merta kerana kononnya akur keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 3 Ogos sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin. – SB