Dr. Zulkifli ucap tahniah barisan Kabinet baharu

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua barisan Kabinet, khususnya kepada YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Tak dilupakan, YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary selaku Timbalan Menteri,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau.

Beliau yang tidak disenaraikan semula sebagai anggota Kabinet memohon maaf kepada semua agensi agama peringkat Persekutuan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri andai pernah terkasar bahasa sepanjang bertugas.

“Doa saya moga negara yang kita cintai ini terus makmur, maju dan bangkit kembali pada era endemik COVID-19,” tambahnya –SB