Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tun M bimbang Ismail Sabri selamatkan kluster mahkamah -

Tun M bimbang Ismail Sabri selamatkan kluster mahkamah

TUN Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyelamatkan para pemimpin UMNO yang digelar “kluster mahkamah” daripada tuduhan yang mereka hadapi

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menjelaskan, kebimbangan beliau itu timbul memandangkan kuasa Ismail Sabri selaku Perdana Menteri mengatasi Peguam Negara dalam kerajaan.

Kebimbangan beliau diperkuatkan lagi dengan hakikat kelompok “kluster mahkamah” itu seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kedudukan lebih kanan dalam parti berbanding Ismail Sabri yang hanya merupakan Naib Presiden.

“Itu tak boleh (Selamatkan kluster mahkamah). Jangan sentuh undang-undang. Pentadbiran mengikut undang-undang. Jangan cuba campur tangan dan pengaruhi mahkamah atau peguam negara.

“(Peguam negara) duduk bawah Perdana Menteri. Dia boleh kata tiada kes. (Jika ada) 46 kes mahkamah, nanti tiba-tiba kata tiada kes,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam wawancara dengan Insight Talk anjuran portal Malaysian Insight semalam.

Ahli Parlimen Langkawi berkenaan juga tidak menolak andaian bahawa perkara itu mungkin akan berlaku memandangkan terdapat keputusan yang kini memihak kepada “kluster mahkamah” tersebut.

Mahathir memberi contoh keputusan mahkamah memulangkan wang ratusan juta yang dirampas kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkaitan kes yang dihadapi Perdana Menteri keenam itu.

BAJIB dan Ahmad

“Macam-macam, orang ada yang curi (ratusan) juta bagi balik. Bagi balik pada pencuri. Jackpot lah (menang judi besar),” katanya.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada keputusan mahkamah memulangkan RM114 juta yang dirampas daripada Najib selepas menolak pendakwaan melucut hak aset terbabit.

Mahathir juga memberi amaran, walaupun tidak terlibat dengan kegiatan salah laku yang didakwa dilakukan Najib, Ismail tetap akan memikul bebannya.

Malah sekiranya Ismail Sabri mengikut dasar “cash is king” iatu memberi wang tunai bagi mendapatkan sokongan, ahli Parlimen Bera itu juga sama seperti Najib.

“Dia tidak terlibat dengan kegiatan yang diamalkan oleh Najib, setakat kita tahu tetapi kalau dia ambil orang itu sokong maka dia akan dapat pengajaran yang buruk.”

“Kalau dia kata cash is king. Saya ingat (pimpinan Muhyiddin) tiada perubahan. Ia akan jadi apa berlaku zaman Najib dan Muhyddin,” katanya.

Ditanya mengenai apa pandangan beliau tentang kepimpinan Ismail, Mahathir berkata perkara itu belum teruji kerana terlalu awal.

“Saya percaya dalam kalangan orang muda ada yang berbakat tapi kita belum tahu kebolehan mereka.

“Pengalaman mereka kurang kalau berbanding dengan orang yang sudah lama jadi pemimpin,” katanya lagi.

Najib berjaya meraih semula wang RM114 juta pada Jun lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan aset tersebut diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Wang tersebut antara hasil operasi merampas harta bernilai lebih RM1 bilion yang dijalankan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas pilihan raya 2018.

Rampasan berkenaan dijalankan sewaktu kerajaan dipimpin Mahathir yang konsisten menggelar Najib sebagai pencuri.

Najib kini sedang merayu selepas dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa.

Kes melibatkan penggelapan RM42 juta dana 1MDB dan SRC International itu antara pelbagai tuduhan dihadapi Najib di mahkamah pada waktu ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid pula berdepan 47 pertuduhan yang mana 12 daripadanya melibatkan jenayah pecah amanah, lapan tuduhan rasuah.

Selain itu, beliau juga berdepan 27 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan tidak hadir ke mahkamah bagi salah satu kesnya semalam kerana mendakwa mengalami kecederaan selepas terjatuh, yang menimbulkan kemarahan hakim.

Empat lagi ahli Parlimen UMNO yang meraih jolokan “kluster mahkamah” itu termasuk Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

AHMAD Maslan dan Tengku Adnan

Ahmad Maslan yang merupakan Ahli Parlimen Pontian itu sedang menghadapi pendakwaan kes mengelak cukai pendapatan berjumlah RM2 juta yang baru dimulakan perbicaraannya.

Manakala Tengku Adnan yang merupakan Ahli Parlimen Putrajaya itu pula baru lepas dari tuduhan rasuah RM1 juta

Sementara Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez yang merupakan bekas pengerusi Tabung Haji pula berdepan 14 tuduhan rasuah dan mengubah wang haram bersama abangnya, Datuk Abdul Latif.

ABDUL Azeez dan Abdul Latiff

Turut sedang berhadapan dengan pendakwaan ialah Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin yang dituduh bagi kes rasuah bernilai RM2.8 juta bagi pelaburan Felcra berjumlah RM150 juta.

Kesemua mereka merupakan antara Ahli Parlimen yang menyokong dan membolehkan Muhyiddin membentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional melalui Langkah Sheraton tahun lalu.

Pentadbiran Muhyiddin tumbang semula apabila 15 Ahli Parlimen UMNO, termasuk kumpulan “kluster mahkamah” itu menarik sokongan ke atasnya pada minggu lalu.

Ismail Sabri kemudian pada Sabtu lalu mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kesembilan dengan sokongan 115 wakil rakyat, termasuk dari Umno dan juga daripada parti Muhyiddin, Bersatu. – SB