HANYA kerana motosikalnya ditarik penjual, seorang lelaki telah tergamak membelasah ibunya sendiri yang berusia 68 tahun.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah panjang di Sibu, Sarawak itu, lelaki berusia 33 tahun berkenaan dilaporkan telah bertindak ganas dan memukul ibunya dengan sebuah kerusi plastik.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Collin Babat, siasatan awal mendedahkan insiden berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan ibunya apabila motosikalnya ditarik oleh pihak kedai kerana perjanjian sewa beli tidak dipatuhi.
“Akibat tindakan suspek, ibunya mengalami bengkak di kepala dan luka di tangan kiri,” katanya menerusi laporan Utusan Borneo.
Berikutan dengan kes itu, suspek kini direman empat hari sehingga 29 Ogos untuk membantu siasatan lanjut.
Difahamkan, suspek baharu sahaja keluar dari Penjara Sibu setelah menjalani hukuman penjara lima bulan atas kesalahan mengikut Seksyen 324/326a Kanun Keseksaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.