PANGLIMA Tentera Darat Jen, Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dipecat kerana menolak vaksin Covid-19 akan dipertimbangkan untuk diserap semula jika dia bersedia menerima suntikan vaksin tersebut.
Menurut beliau, selain daripada penyerapan semula, anggota berkenaan, Wan Ramli Wan Seman, 39, juga akan menerima kembali semua faedah yang berkaitan.
Pun begitu, Zamrose menjelaskan, keputusan memberhentikan bekas sarjan yang berpangkalan di Kem Rasah berkenaan masih kekal setakat ini.
“TDM akan pertimbangkan (serap semula bertugas) jika dia mahu menerima suntikan vaksin dan saya yakin pegawai pemerintah mengambil tindakan sewajarnya.
“Segala apa yang patut anggota itu dapat kita akan serahkan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada 83 persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, hari ini.
Zamrose selanjutnya menjelaskan, Wan Ramli sebelum ini telah menjalani empat sesi kaunseling selepas dia enggan menerima suntikan vaksin dan keputusannya masih sama iaitu tidak mahu menerima suntikan vaksin.
Tegas beliau, TDM mempunyai 86,000 anggota dan tidak mahu sebarang implikasi berlaku terhadap anggota lain yang bekerja dalam pasukan.
Isnin lalu, media melaporkan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan telah dihentikan perkhidmatan kerana menolak pemberian vaksin. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.