PERDANA Menteri (PM) Singapura Lee Hsien Loong merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas hubungan dan kerjasama kedua-dua negara yang terjalin ketika kedua-duanya bergelar rakan sejawat.
Hsien Loon menyatakan demikian ketika menghubungi Muhyiddin menerusi panggilan telefon hari ini.
Menurut Muhyiddin, Hsien Loong turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas hubungan serta kerjasama baik yang kami sama-sama jalinkan sepanjang lebih setahun bergelar rakan sejawat, dan berdoa saya dapat terus memainkan peranan dalam aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Hari ini saya menerima panggilan telefon daripada TYT Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, antara lain bagi bertanya khabar dan mengetahui perkembangan saya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
“Saya menaruh keyakinan hubungan baik Malaysia-Singapura ini akan terus ditingkatkan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri.
“TYT Lee Hsien Loong juga memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus diperkasakan,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Muhyiddin berkata, secara peribadi, beliau amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan Hsien Loong, bukan sahaja kebelakangan ini, bahkan ketika mereka saling mengenali lama dahulu.

“Masih segar diingatan pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah-tengah Tambak Johor pada Julai tahun lepas, iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Beliau turut mendoakan Hsien Loong diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan mentadbir Singapura.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.