Permohonan UMNO batal saman SRC 10 November

0
257

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpu hari ini menetapkan 10 November untuk mendengar permohonan UMNO membatalkan saman yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu atas dakwaan menerima wang berjumlah RM16 juta yang diseleweng daripada syarikat itu.

Mei lalu, SRC International yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu bersama beberapa anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd.

Seorang peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili ketiga-tiga plaintif, berkata mahkamah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon.

“Permohonan akan didengar pada 9 pagi menerusi Zoom,” katanya ketika dihubungi.

SRC International, Gandingan Mentari, dan Jendela Pinggiran menyaman parti itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

Plaintif mendakwa parti politik itu mengetahui wang berkenaan adalah milik SRC International dan UMNO tidak mempunyai asas menerima dana terbabit.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 billion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementerian itu menyebut, writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei lalu, iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Saman difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here