Paralimpik: Nur Syaiful ke final 100m gaya bebas

PERENANG para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli mara ke aksi final 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 selepas menamatkan Saringan 1 dengan berada di tempat ketiga terbaik, Sukan Paralimpik di Tokyo, sebentar tadi.

Syaiful mencatat 1 minit 16.33 saat (s) di Pusat Akuatik Tokyo untuk menempatkan dirinya berada di kedudukan ketujuh daripada lapan perenang terbaik yang menempah slot kelayakan ke saingan final pada jam 4 petang ini.

Mengungguli saingan saringan keseluruhan adalah atlet China, Weiyi Yuan yang mencatat 1:12.66s, manakala Daniel de Faria Dias (Brazil) mencatat masa kedua terbaik, 1:13.02s.

Berada di tangga ketiga adalah Antoni Ponce Bertran dari Sepanyol yang mencatat 1:13.33s manakala rakan senegara Yuan, Tao Zheng di tangga keempat, 1:13.83s.