PENULARAN Covid-19 masih belum reda dengan lima digit kes direkodkan saban hari sejak lebih sebulan lalu.
Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan pelajar di sekolah rendah mahupun menengah perlu mengikuti sesi pembelajaran menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memandangkan sekolah terpaksa ditutup.
Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok, seorang guru memuat naik gelagat comel salah seorang anak muridnya yang meluahkan kerinduan kerana sudah lama tidak dapat menghadiri sesi persekolahan seperti biasa, selepas selesai pembelajaran menerusi Google Meet.
“Kerinduan seorang anak murid terhadap cikgunya. Berabis dia tunggu kawan-kawan yang lain left,” demikian kapsyen yang ditulis pada video tersebut.
Menurut guru bernama Jina Ulau Jok, pelajar perempuannya itu sememangnya seorang yang ramah dan suka bercerita sama seperti ketika berada di dalam kelas sebelum ini.
“Selepas habis saja sesi pembelajaran Google Meet, Auni tunggu je kawan-kawan yang lain keluar, selepas itu baru dia bersembang dengan saya.
“Habis kelas selalunya memang saya ada masa terluang, jadi saya luangkan masa itu untuk berbual dengan Auni, seronok layan keletah kanak-kanak sebab mereka comel sangat sehingga tak sedar kami berdua berbual selama sejam,” katanya.
Hanya sempat mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka selama kira-kira dua bulan sahaja sejak Covid-19 melanda negara, sudah pastinya sebilangan besar pelajar merindui suasana belajar di dalam kelas serta guru masing-masing.
Menurut guru yang berusia 29 tahun itu, Auni merupakan salah seorang daripada 25 murid prasekolah yang diajarnya di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, Teluk Intan, Perak.
Video yang tular itu dibanjiri komen positif dari netizen yang terharu dengan perbualan mereka berdua.
“Kenapa aku menangis, bukan semua boleh jadi cikgu, yang betul-betul ikhlas memang kita boleh nampak,” kata n.syahirara di ruangan komen tersebut.
“Saya pulak yang menangis, teringat cikgu sekolah menengah,” luah seorang pengguna TikTok.
Sehingga kini dua video yang dimuat naik oleh Jina masing-masing meraih lebih 80,000 dan 289,000 jumlah tontonan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.