SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa permohonan tauliah mengajar agama Islam tidak akan diberikan kepada individu berstatus ahli politik di negeri Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut telah diperkenankan Ahli Dewan Diraja Selangor dalam Mesyuarat Dewan Diraja Selangor (Mesyuarat Diraja Selangor Bilangan 15) yang bersidang pada 4 Mac 2019 lalu.
Amirudin Shari menjelaskan, Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 6 April 2021 juga memutuskan mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah mengajar dan masih berkuat kuasa, dikekalkan hingga tamat tempoh sah tauliah dengan bersyarat.
Menurut beliau, syarat tersebut ialah individu tersebut perlu menyampaikan ceramah tanpa menyentuh isu-isu politik kepartian, mengaitkan individu tertentu dan menyebar fitnah, selain dapat menjaga akhlak dan kemuliaan masjid serta surau sebagai pusat ilmu dan dakwah setempat.
“Tempoh tamat (tauliah mengajar) adalah setahun sehingga dua tahun dari tarikh kelulusan tauliah dikeluarkan. Jadi jika ada yang mahu memperbaharui semula tauliah tersebut, semua yang mempunyai jawatan jelas dalam politik tidak dibenarkan menyambung tauliah masing-masing,” katanya.
“Seramai 31 ahli politik masih memegang tauliah mengajar agama dan sah sehingga tamat tempoh mereka di Selangor,” ujarnya yang menjawab soalan Syamsul Firdaus Mohamed Supri, (PH-Taman Medan), pada persidangan DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, sejumlah 191 kes keganasan rumah tangga dari bulan Januari hingga Mei lalu didaftarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk diberi bimbingan dan runding cara.
Katanya jumlah itu melibatkan 69 kes bagi daerah Petaling; Hulu Langat (38),Gombak (28), Klang (16), Sepang (15), Kuala Langat (14), Kuala Selangor (enam), Hulu Selangor (tiga) dan Sabak Bernam (dua). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.